Monday, April 6, 2009

Hampir Setahun Kemudian

07 April 2009

hampir setahun ku tinggalkan..hampir tiada yang mampu aku hunuskan. hanya masih kusemat harapan. hanya masih ku gilap kenangan. mana aku mampu menebus. mana mungkin aku tertimbus. aku masih mendakap keliru. aku masih mencoret celaru.


hidup penuh dengan dugaan dan itu amat pasti. tapi langkah permulaan sering kali terundur. kemaraan seringkali terpalit dengan ungkapan-ungkapan yang membenihkan ketidakpastian. senangnya mencatit perancangan namun tetap di situ jadinya catitan. mata pena kurang tajam agaknya. pening? mungkin...begitu juga aku dalam mentafsirkan susunan nafasku.


hidup masih dilitup dengan topeng-topeng manusia yang berbagai. para penikam belakang sentiasa mencari pengaruh di dalam aku. aku sebenarnya benci dengan lakonan ini, tapi aku harus hidup. berhadapan dengan para jahanam ini selalunya membuat aku mengeluh sendirian. seringkali juga aku cuba mentafsirkan apa yang dizahirkan oleh pemikiran dangkal mereka. para pelakon ini selalunya berkata seolahnya benar walau pun terang sekali bohongnya. tidak aku tahu samada mereka tahu atau tidak bahawa aku tahu pembohongan yang mereka utarakan. aku jelak dengan mereka tapi aku juga harus hidup.


hampir setahun aku kembali mencari landasan untuk aku hamburkan ketidaktentuan ini. kerana sekelilingku tidak memberikan ruang untuk aku menjadi aku. setiap hariku ditutup dengan topeng-topeng agar aku dapat terus hidup. berhadapan dengan pelbagai bentuk tipudaya. dan aku adalah yang selalu rebah bertarung dengan tipudaya. mana mampu aku menebus.

ada kelibat..yang merencana sesuatu dibalik tabir-tabir keliruku. mana mungkin aku tertimbus lagi. aku juga perlu hidup. hidup juga perlukan aku. malah aku masih perlukan aku. tiada daya aku mencaturkan alam. namun aku masih ada aku untuk ku gunakan agar alam dicatur mengikut inginku. para penikam belakang tetap juga akan hidup dalam setiap zaman. keliru tetapnya di situ. terpahat kekal.

Monday, May 26, 2008

GERIMIS

hari ini hanya suram dan bosan. mendung dan kemudiannya hujan. setiap detik terisi dengan irama yang membosankan. cerianya ada tapi terselindung sebalik kumpulan awan. negara masih kelam dan berserabut. tanpa hujungnya tanpa pangkalnya. aku jelak dengan lakonan itu. sama saja dalam firasat ini. tiada terlebih tiada terkurang.
aku masih terasa betapa kerdilnya diri dalam rimba ini. hujan yang turun kali ini pun tiada membawa apa-apa perkhabaran dari atas. ranjau dalam perjalanan hanya menggugat secebis ikhtiar dalam hakiki. pergi dan datang pun hanyalah sambil membasahkan tanah-tanah noda.
tafsirkan padaku apa kurangnya engkau dan aku. hanya hidup dalam sarung. tak perlulah tinggikan hidungmu. muka bumi ini tidak pernah menjanjikan irama yang paling segar. pulang ke tanahmu setelah selesai urusanmu. di sini bukan tempat aku juga bukan tempat engkau.
tak ke mana pun gerimis ini. sebelum gelap aku sudah kembali ke gua. gua yang sudah sedia gelap tanpa cahaya. namun dapat juga ku berlindung dari rejaman hujan ini. basah sedikit tak mengapa. lumrah basah tetap habisnya dengan kering. untuk seketika..aku ingin menghayati irama gerimis ini..
ada keindahan..

Saturday, May 24, 2008

Salam Dari Permulaan

memula ni hanyalah sebagai satu perkenalan untuk diriku sendiri..mencari masa untuk kerap di sini pasti sesuatu yang sukar. tapi sebagai permulaan ini tak banyak yang ingin aku kendalikan. baik dari segi isi atau dari segi rupa muka. aku hanya mahu menulis. dari pena ke taipan jemari ini.
hidup makin buat aku keliru. namun masih di bawah kawalan tekanan. mencari erti hidup pasti aku akan ketemui cabang-cabang celaru. dan sememangnya aku sering tersilap cabang. sesat dalam pengaruh kehidupan. satu ayat berbagai maksud. maka di sini bermula satu irama untuk aku mencari teduh, mencari redup, mencari sinar dan diri.
negara dalam celaru. negara dalam tak keruan. kacau bilau dari isi perut bumi sehinggalah ke pucuk-pucuk dedaunan. mana punca, tak akan ku pedulikan.
salam dari permulaan. mungkin akan ada coretan dari perjalanan dan mungkin juga dari apa yang terlintas dalam naluri.
yang dari cabang sama atau berlainan. datanglah dengan selamat dan pulang dengan ketenangan. aku masih di sini dan akan tetap di sini....pasti..